Tuesday 12 April 2011

Mohon Sumbangan Dana Pembelian Alat-alat Perkusion

Sebagai sebuah kumpulan nasyid yang baru bertapak di arena seni hiburan, sudah tentu masih banyak kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dari masa ke semasa dalam usaha menjadikan sebuah kumpulan nasyid itu memiliki kelebihan yang tersendiri dan dapat memberikan penyampaian serta persembahan dengan lebih menarik dan berkesan.

Shoutul Mutafakkirin tidak terkecuali memiliki kekurangan dan kelemahan itu. Dalam usaha memperbaikinya, salah satu aspek yang diberi tumpuan ialah kelengkapan alat-alat perkusion (music). Aspek ini adalah sangat perlu bagi tujuan latihan dan persembahan. Seterusnya dapat mengelakkan Shoutul Mutafakkirin daripada terus meminjam kelengkapan perkusion daripada pihak-pihak lain bagi tujuan tersebut.


Untuk itu, Shoutul Mutafakkirin membuka ruang kepada mana-mana pihak yang bermurah hati ingin menyumbang kepada usaha ini, bagi sama-sama membuat pelaburan kepada usaha dakwah memartabatkan Islam menerusi seni hiburan nasyid.

Antara alat-alat yang diperlukan adalah:

    1. Yenki                                         1 Unit - RM 295.00
    2. Darbouka                                   1 Unit - RM 230.00
    3. Bongo                                        1 Unit - RM 270.00
    4. Bongo stand                               1 Unit - RM 115.00
    5. Conga with stand (Biasa)            1 Unit - RM 880.00
    6. Conga with stand (with design)    1 Unit - RM 950.00
    7. Bar Chime with stand                  1 Unit - RM 330.00
    8. Djembe                                      1 Unit - RM 650.00
Jumlah : RM 3720.00


Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun :
BIMB 0202 00204 84004 atau,
BSN 02191 2900005 1752
(Mohd Abu Bakar B. Abdul Halim : Pengurus / Jurulatih Kumpulan)
Tel : 013-5107134

*Buat masa ini Shoutul Mutafakkirin belum mempunyai akaun bank kumpulan. Maka akaun persendirian digunakan dahulu untuk tujuan tersebut. Sebarang pertanyaan boleh hubungi nombor telefon yang tertera.
Yenki


Darbouka


Bongo


Bongo stand


Conga with stand (Biasa)


Conga with stand (with design)


Bar Chime with stand


Djembe

    Saturday 9 April 2011

    Show (3) - Sambutan Maulidurrasul 1432H

    Seiring dengan bahang sambutan maulidurrasul yang masih lagi terasa, Shoutul Mutafakkirin sekali lagi diundang bagi menyampaikan hiburan Islam sebagai salah satu cara memeriahkan program sambutan maulidurrasul yang dibuat di Madrasah Nurul Ehsan, Kodiang, Kedah.

    Program yang dinamakan Kem Hafazan Al-Quran dan Hayati Sirah Nabi, adalah anjuran Madrasah Nurul Ehsan yang bertujuan sebagai salah satu cara menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dan memberi pendedahan dan pengetahuan tentang kaedah-kaedah menghafal Al-Quran serta kisah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w kepada peserta kem dalam usaha mendidik masyarakat menghafal Al-Quran dengan betul, menghayati dan mengambil pengajaran daripada sirah Rasulullah s.a.w.

    Program selama 3 hari 2 malam itu disertai oleh peserta-peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan rendah yang rata-ratanya menjadikan kem itu sebagai salah satu cara mengisi masa lapang cuti sekolah.

    Berbagai pengisian dan aktiviti menarik disusun bagi menjadikan ia sebuah program yang benar-benar menepati tujuan ia diadakan. Antaranya variasi Bacaan Selawat yang dibuat setiap kali selepas solat fardhu berjemaah sepanjang program, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) Hafazan Al-Quran, Kuliah Hayati Sirah Nabi dan aktiviti riadhah Gotong Royong. Kemuncak program pada hari terakhir yang turut dihadiri waris-waris peserta dan masyarakat sekitar, diisi dengan Persembahan Nasyid oleh Shotul Mutafakkirin dan Ceramah Perdana Maulidurrasul serta jamuan kenduri. Hadiah, cenderahati dan sijil turut turut diberikan kepada peserta kem.

    Dengan membawa lagu bertajuk "Rasul Ibarat Bulan Purnama" yang suatu ketika dahulu pernah dipopularkan oleh kumpulan Nadamurni serta selawat, mengimbau kembali sirah perjalanan insan yang menjadi uswatun hasanah kepada seluruh manusia.

    Sebelum bermulanya program ini, Shoutul Mutafakkirin telah berkampung di sana selama 4 hari bagi membantu menyiapkan fasilitis bangunan asrama pondok yang menjadi tempat penginapan para pelajar serta lain-lain kemudahan Madrasah Nurul Ehsan. Usaha ini dilakukan bersama pihak pengurusan madrasah serta masyarakat sekitar.

    Tahniah dan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa yang terlibat khususnya Mudir Madrasah Nurul Ehsan, Ustaz Azizan serta keluarga.


    "Laqad kana lakum fi Rasulillahi uswatun hasanah" - Al-Ahzab : 21.

    Tuesday 5 April 2011

    Show - Ekspo Usahawan Sejahtera Harmoni 2011

    Siapa sangka kunjungan spontan Shoutul Mutafakkirin ke tapak Ekspo Usahawan Sejahtera Harmoni yang terletak di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah itu rupanya memberi ruang kepada Shoutul Mutafakkirin membuat persembahan nasyid, sekaligus menggantikan persembahan yang sepatutnya dibuat pada waktu yang sama di Kepala Batas, Pulau Pinang tetapi dibatalkan di saat-saat akhir.

    Dengan membawa sebanyak 7 lagu nasyid pada malam yang di penuhi ratusan para hadirin tersebut, rata-rata anggota Shoutul Mutafakkirin menganggap persembahan tersebut sebagai satu pengalaman baru penuh bermakna.

    Ekspo Usahawan Sejahtera Harmoni anjuran Tunas Indah Niaga Ent. yang berlangsung selama 20 hari bermula 21 Febuari hingga 12 Mac tersebut bertujuan menjadikan Karnival @ Ekspo sebagai wadah penyebaran maklumat (Hub Ilmu) menerusi berbagai bentuk pengisian yang dibuat. Selain itu, ia juga dapat membantu menjana ekonomi negara serta menjadi platform kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka. Program seumpama ini juga dapat mengeratkan silaturrahmi antara penggunjung, peniaga dan masyarakat setempat serta membantu mempromosikan lokasi atau daerah yang terlibat dengan sesuatu Karnival @ Ekspo.

    Berbagai bentuk acara dan pengisian dibuat. Antaranya Forum dan Ceramah Perdana, Persembahan Artis, Pameran & Jualan oleh berbagai agensi kerajaan dan swasta, Sukan Rakyat, Gerai Jualan, Pertandingan Nasyid, Hafazan, Puisi dan Sajak serta cabutan bertuah.

    Syabas, tahniah dan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa penganjur program yang telah bertungkus lumus memastikan program berjalan dengan lancar, para peniaga yang memeriahkan aktiviti jualan, pasukan keselamatan dan RELA yang sentiasa membantu memastikan keselamatan dan lalu-lintas terjaga, para pengunjung yang turut memeriahkan program serta yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.

    Semoga setiap usaha yang kita lakukan diberkati dan dirahmatai Allah S.W.T.

    DJ mengendalikan pentas


    Shoutul Mutafakkirin


    Ditemu bual DJ bertugas


    Ditemu bual DJ bertugas


    Deretan gerai ekspo


    Persaingan harga mewarnai ekspo


    Pengunjung ekspo membeli-belah


    Salah seorang anggota Shoutul Mutafakkirin, Hadi (biru) sedang berkira-kira dengan seorang peniaga.


    Hakim (kopiah putih) bersama Najmi (merah), juga antara anggota Shoutul Mutafakkirin, sedang test kopiah baru.


    Kemudahan tempat kanak-kanak bermain turut disediakan. 
    (*Terdapat juga orang dewasa bermain di situ)


    Menjamu selera selepas persembahan.

    Monday 4 April 2011

    Show (2) - Sambutan Maulidurrasul 1432H

    Sempena sambutan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, maulidurrasul tahun 1432H / 2011M, Shoutul Mutafakkirin sekali lagi mendapat undangan persembahan nasyid yang bertempat di Pusat Tarbiyyah Islam Kampung Belau yang terletak di Merbok, Kedah.

    Program yang dihadiri oleh masyarakat sekitar qaryah Kampung Belau itu diisi dengan Majlis Bacaan Surah Yassin dan Tahlil, berselawat, jamuan serta persembahan nasyid. Program tersebut merupakan program tahunan bagi Pusat Tarbiyah Islam tersebut.

    Show - Sambutan Maulidurrasul 1432H


    Sempena sambutan maulidurrasul 1432H bersamaan 2011M, Shoutul Mutafakkirin tidak ketinggalan menerima undangan membuat persembahan nasyid dalam meraikan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

    Persembahan di Pendang Lake Resort tersebut merupakan sebuah program Sambutan Maulidurrasul anjuran gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan firma-firma perniagaan. Antaranya Yayasan Itmam Malaysia, Badan Amal Kebajikan Nun (BAKUN) dan EMSWAY Marketing Sdn. Bhd.

    Suasana dan pemandangan yang terdapat di Pendang Lake Resort, sebuah tempat peranginan yang menawarkan pekej percutian yang menarik menyerikan lagi program tersebut yang dianjurkan juga bersempena sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia selain daripada sambutan maulidurrasul.

    Program selama satu hari itu diisi dengan berbagai pengisian menarik, antaranya bacaan ikrar oleh anak-anak yatim BAKUN, Peraduan Mewarna kanak-kanak sekolah rendah, Dialog Bersama Muallaf dari China, jamuan, bacaan tahlil maulid, persembahan nasyid dan ceramah agama.

    Tahniah kepada seluruh jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus-lumus dan terima kasih di atas ruang persembahan yang diberikan kepada Shoutul Mutafakkirin.

    Bacaan Ikrar Maulidurrasul 1432H oleh Anak-anak Yatim BAKUN

    Peraduan mewarna

    Persembahan nasyid Shoutul Mutafakkirin

    Jawatankuasa program mengendalikan kanak-kanak peserta peraduan mewarna.

    Sebahagian daripada kanak-kanak yang menyertai peraduan mewarna

    Penyampaian hadiah, saguhati dan sijil peraduan mewarna

    Penyampaian hadiah, saguhati dan sijil peraduan mewarna


    Jamuan tengah hari

    Dialog bersama muallaf dari China

    Sebahagian hadirin tekun mendengar sesi dialog bersama muallaf China

    Persembahan nasyid Shoutul Mutafakkirin

    Persembahan nasyid Shoutul Mutafakkirin

    Show - Ijtima' Korban Aidil Adha Keluarga Besar Az-Zubaidiy

    Menerusi program ini, buat julung kalinya Shoutul Mutafakkirin telah membuat persembahan nasyid sulungnya sekaligus menjadi titik permulaan secara rasminya penubuhan kumpulan nasyid Shoutul Mutafakkirin.


    Ijtima' Korban Aidil Adha Keluarga besar Az-Zubaidiy merupakan sebuah program sambutan hari keluarga yang dianjurkan oleh generasi ke-4 keturunan Az-Zubaidiy Al-Yamani Merbok bertempat di Madrasah Az-Zubaidiyah, Merbok, Kedah pada 20 Nevember 2010 bersamaan 13 Zulhijjah 1431.

    Program selama satu hari itu dihadiri seramai kira-kira 350 anak cucu cicit keturunan Az-Zubaidiy Al Yamani dari seluruh negara termasuk dari Indonesia dan Australia serta masyarakat sekitar. Antara pengisiannya adalah pembentangan salasilah keturunan Az-Zubaidiy Al Yamani dari generasi pertama hingga sekarang, perkongsian kisah hidup dan pengalaman antara wakil-wakil keluarga, jamuan serta solat berjamaah. Program diserikan lagi dengan persembahan nasyid oleh Shoutul Mutafakkirin.

    Tahniah kepada seluruh jawatankuasa penganjur yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung serta terima kasih diucapkan di atas ruang persembahan yang diberikan kepada Shoutul Mutafakkirin.

    Semoga hiburan yang disampaikan bermanfaat untuk semua...^_^

    Pembentangan salasilah keluarga Az-Zubaidiy Al Yamani


    Perkongsian kisah hidup dan pengalaman


    Jamuan


    Jamuan


    Solat zohor berjamaah

    Salam Ta'aruf



    Assalamualaikum w.t.h.

    Seiring dengan kemajuan dunia teknologi, Shoutul Mutafakkirin tidak ketinggalan dalam memanfaatkannya sebagai platform dakwah yang diterjemahkan menerusi hiburan Islam. Diharapkan jaringan melalui laman blog ini dapat memberikan input positif kepada pencinta-pencinta seni hiburan Islam amnya dan Shoutul Mutaffakkirin sendiri menerusi berbagai pengisian dan paparan.

    SALAM TA'ARUF dari kami Shoutul Mutafakkirin buat seluruh sidang pembaca dan pelayar-pelayar internet. ^_^

    zwani.com myspace graphic comments
    "Tidak ada sesuatu yang ALLAH S.W.T lebih mencintai kecuali seorang pemuda yang menasihati orang tu. ALLAH S.W.T lebih mencintai seorang pemuda yang beribadat daripada seorang tua yang beribadat. Ambillah masa muda kamu sebelum kamu menjadi orang tua yang tersangat tua dengan memperbanyakkan istighfar. Mudah-mudahan agama ini dapat ditolong di tangan kamu."
    widgeo.net
     
    Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons